THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Friday, October 26, 2007

Cuaca Dunia Semakin Pelik

REKOD bumi kini mencatatkan perkembangan pelik. Bahang panas melampau di Amerika Syarikat dan Eropah tetapi keadaan sebaliknya di negara panas, Afrika Selatan yang dilitupi salji. Tidak ketinggalan beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegarkan China ketika banjir terus menelan korbannya dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India. Keadaan cuaca tidak menentu itu menyaksikan beratus-ratus kematian dalam sekelip mata manakala lebih sejuta lain hilang tempat tinggal. Nilai kerugian akibat kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda mencecah berbilion dolar. Inilah senario terkini keadaan cuaca dunia yang lebih banyak pelik daripada kebiasaannya. Catatan rekod daripada panas dan sejuk melampau selain rentetan satu demi satu taufan ganas yang seakan tidak memberi ruang bagi negara mangsa untuk bernafas. Keadaan diburukkan lagi dengan ancaman gempa bumi kian kerap dengan catatan skala Richter lebih daripada sederhana sehingga menyebabkan amaran ombak besar atau tsunami yang amat asing bagi rantau Asia Pasifik, kini berlaku hampir setiap bulan. Pendek kata, bukan saja perkembangan politik dunia diselubungi pelbagai kekacauan, tetapi rekod alam sekitar pun tidak terkecuali kelam kabutnya sebagaimana yang ketara di beberapa negara dalam tempoh dua bulan lalu. Namun, antara contoh ‘klasik’ atau ketara adalah membabitkan kejutan perbezaan cuaca ketara benua Eropah dan Amerika dengan Afrika. Apa tidaknya, Eropah dan Amerika yang lebih diketahui menikmati cuaca sejuk sebaliknya diselubungi panas melampau dengan paparan rakyatnya kepanasan terpampang di kebanyakan media utama dunia baru-baru ini. Keadaan sebaliknya berlaku di bahagian selatan dua benua itu apabila Afrika Selatan yang sudah sinonim dengan cuaca panas, sebaliknya menyaksikan kehadiran salji buat kali pertama sejak 1981. Cuaca sejuk melampau di kawasan termasuk bandar Soweto, selatan Johannesburg serta kawasan penempatan eksklusif di Sandton mencatatkan suhu sehingga 1 darjah Celsius. "Salji yang turun itu menjadi satu fenomena unik bagi kami kerana ia jarang berlaku di negara ini. Cuaca sejuk memang berlaku tetapi tidaklah sehingga menurunkan salji," kata Kevin Rae, Timbalan Pengurus Jabatan Kaji Cuaca Afrika Selatan di Pretoria yang dipetik media tempatan. Ketika penduduk Afrika Selatan memakai baju sejuk dengan anak kecilnya riang bermain salji, warga Amerika dan Eropah lebih selesa berpakaian tipis dan merendamkan kaki di air pancut akibat cuaca panas melampau. Laman web pusat pemantau cuaca Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (Nasa) merujuk bulan lalu sebagai tempoh paling panas sejak enam tahun lalu dengan catatan suhu kira-kira 40 darjah Celsius. Suhu permukaan tanah turut meningkat dengan sebahagian Kanada dan Mexico juga lebih panas berbanding tempoh 2000-2005. Di Amerika, korban cuaca panas itu mencecah lebih 200 orang termasuk 164 orang di California dengan selebihnya dilaporkan di New York dan Chicago. Keadaan itu menyebabkan berlakunya kejadian bekalan elektrik terputus. Di Eropah sekurang-kurangnya 29 orang maut di Paris akibat panas melampau. Namun fenomena sepanjang Julai yang reda awal bulan ini masih terkawal dan tidak seburuk kejadian pada 2003 apabila sekurang-kurangnya 15,000 maut di Perancis dan 20,000 lain di Itali akibat cuaca panas yang keterlaluan. Ramai kalangan saintis mengaitkan keadaan pelik itu sebagai kesan pemanasan global - satu keadaan yang dijangka berlarutan akibat pencemaran gas rumah hijau hasil pembakaran bahan fosil yang terperangkap dalam atmosfera. Biarpun sukar membuktikannya, seperti diakui Asher Timms, pegawai Pusat Penyelidikan Perubahan Cuaca Tyndall di Britain, corak cuaca bumi kini berubah. "Akibatnya paras air laut semakin meningkat yang berkait rapat dengan salji yang semakin berkurangan atau cair di kebanyakan kawasan pergunungan serta bungkah ais Greenland yang mencair. Ini menyebabkan air laut semakin panas dan menyebabkan taufan makin ganas berlaku dengan kerap." Malah antara bukti taufan yang mengganas adalah di China yang menyaksikan kemudaratan akibat serangan tiga taufan dalam tempoh sebulan. Dimulai taufan Bilis, Prapiroon dan terbaru taufan raksasa Saomai dengan angin selaju 216 kilometer sejam. Serangan taufan itu menyaksikan banjir dan tanah runtuh yang setakat ini menyebabkan hampir 1,000 orang terbunuh termasuk 600 akibat taufan Bilis saja. Keadaan banjir itu turut meragut nyawa di ceruk lain dunia di Korea Utara, India dan di Habsyah. Malah di Habsyah selain 254 kematian, seramai 250 orang masih hilang sehingga hari ini. Apa yang pasti, keadaan cuaca yang tidak menentu itu diperakui sejak beberapa tahun lalu yang membawa kepada penubuhan satu agensi khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - Intergovernmental Panel non Climate Change (Panel Perubahan Cuaca) pada 1988. Laporan keempatnya mengenai fenomena pelik cuaca dunia akan dikeluarkan tahun depan. Laporan itu bakal mengemas kini butiran kajian 2001 yang sudah memberikan amaran peningkatan suhu sebanyak 1.4 - 5.8 darjah Celsius pada 1990 sehingga 2100 bakal mendatangkan kesan buruk. Apa yang pasti, tempias amaran laporan PBB itu sudah pun ketara sejak akhir-akhir ini. Fenomena pelik cuaca bukan setakat satu andaian tetapi hakikat yang bakal berlaku pada bila-bila masa. Malangnya, biar sehebat mana pun kecanggihan teknologi bagi mengesannya, ia tidak dapat mengekang kemusnahan akibat bencana alam yang berlaku. Manusia hanya mampu menunggu dan melihat kemusnahan disebabkan cuaca makin pelik dan buruk ini.

Bukti Cuaca Dunia Semakin Pelik

2006

Amerika Syarikat, Eropah dilanda panas melampau manakala Afrika Selatan menyaksikan salji buat pertama kali dalam tempoh 25 tahun.

Kajian terbaru buktikan pembentukan awan jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya menyebabkan beberapa habitat hidupan liar kekeringan dan menjejaskan perubahan flora dan fauna.

2005

Musim taufan Atlantik paling aktif pada tahun ini dengan rekod 26 ribut dan 14 puting beliung yang tujuh daripadanya cecah Kategori 3 ke atas. Buat kali pertama, taufan ganas Katrina, Rita dan Wilma terbentuk dalam satu musim.

Bumi semakin panas keadaan tahun lalu menyamai 1998 sebagai tempoh paling panas.

Kemarau dan panas kering menyebabkan musim kebakaran hutan yang memusnahkan lebih 8.5 juta ekar kawasan dunia yang jauh atasi fenomena sama pada 2000.

Sumber: Berita Minggu ( 13 Ogos 2006 )

Kesan pemanasan global



MACHANG: Beberapa lokasi rendah di negara ini yang berada separas dengan laut berisiko tinggi lenyap ‘ditelan laut’ berikutan kemungkinan berlaku fenomena air laut meningkat disebabkan kepanasan global. Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah, berkata kerajaan bagaimanapun tidak akan berdiam diri, sebaliknya berusaha mencari langkah terbaik yang akan diambil bagi mengatasi fenomena itu. “Sekiranya kita tidak berbuat sesuatu kemungkinan nasib yang menimpa beberapa negara Eropah seperti Belanda akan menimpa negara kita,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi 73 penduduk uzur dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Pangkal Melerek, di sini semalam. Beliau berkata, negara memerlukan langkah jangka panjang sekurang-kurangnya membina benteng terutama bagi kawasan yang berisiko tinggi seperti di Batu Pahat, Johor dan Pantai Sabak di Kelantan. Katanya, peruntukan berbilion ringgit diperlukan bagi kerja itu dan kementerian memerlukan sokongan semua pihak terutama pihak berkuasa kerajaan tempatan dan kementerian lain. Sazmi berkata, masalah di Batu Pahat sangat merumitkan apabila banjir di kawasan itu berlaku akibat hujan lebat berterusan kerana air sungai tidak dapat mengalir ke laut berikutan paras laut hampir menyamai daratan. Katanya, sementara kawasan seluas setengah kilometer di Pantai Sabak sudah dihakis ombak sejak beberapa tahun lalu menyebabkan puluhan rumah kepunyaan penduduk di situ musnah dan dihanyutkan ombak besar pada musim tengkujuh. Beliau berkata, kedua-dua kawasan itu lebih berisiko tinggi apabila berlaku gempa bumi berhampiran negara secara berterusan. Bagaimanapun, beliau berharap penduduk yang tinggal di kawasan itu harus bersabar kerana fenomena itu baru berlaku dan memberi peluang kepada kerajaan mengatasinya. Bernama.