THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Friday, October 26, 2007

Kesan pemanasan global



MACHANG: Beberapa lokasi rendah di negara ini yang berada separas dengan laut berisiko tinggi lenyap ‘ditelan laut’ berikutan kemungkinan berlaku fenomena air laut meningkat disebabkan kepanasan global. Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah, berkata kerajaan bagaimanapun tidak akan berdiam diri, sebaliknya berusaha mencari langkah terbaik yang akan diambil bagi mengatasi fenomena itu. “Sekiranya kita tidak berbuat sesuatu kemungkinan nasib yang menimpa beberapa negara Eropah seperti Belanda akan menimpa negara kita,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi 73 penduduk uzur dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Pangkal Melerek, di sini semalam. Beliau berkata, negara memerlukan langkah jangka panjang sekurang-kurangnya membina benteng terutama bagi kawasan yang berisiko tinggi seperti di Batu Pahat, Johor dan Pantai Sabak di Kelantan. Katanya, peruntukan berbilion ringgit diperlukan bagi kerja itu dan kementerian memerlukan sokongan semua pihak terutama pihak berkuasa kerajaan tempatan dan kementerian lain. Sazmi berkata, masalah di Batu Pahat sangat merumitkan apabila banjir di kawasan itu berlaku akibat hujan lebat berterusan kerana air sungai tidak dapat mengalir ke laut berikutan paras laut hampir menyamai daratan. Katanya, sementara kawasan seluas setengah kilometer di Pantai Sabak sudah dihakis ombak sejak beberapa tahun lalu menyebabkan puluhan rumah kepunyaan penduduk di situ musnah dan dihanyutkan ombak besar pada musim tengkujuh. Beliau berkata, kedua-dua kawasan itu lebih berisiko tinggi apabila berlaku gempa bumi berhampiran negara secara berterusan. Bagaimanapun, beliau berharap penduduk yang tinggal di kawasan itu harus bersabar kerana fenomena itu baru berlaku dan memberi peluang kepada kerajaan mengatasinya. Bernama.

No comments: