THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES ?

Wednesday, October 24, 2007

UKM di ISS


Pelancaran roket Soyuz pada 10 Oktober 2007 yang membawa angkasawan pertama Malaysia menandakan satu titik sejarah dalam bidang sains angkasa negara.
Tiga kajian dalam bidang sains hayat telah dibawa bersama Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Dua daripada eksperimen ini diketuai oleh penyelidik dari UKM iaitu Profesor Dr. A Rahman A Jamal, yang mengetuai kajian sel kanser di angkasa dan Profesor Dr. Ramelah Mohamed yang mengetuai kajian mikrob di angkasa.
Profesor Dr. A Rahman yang juga merupakan ketua pasukan saintifik bertanggungjawab berkomunikasi dengan Dr. Sheikh Muszaphar pada sesi komunikasi teknikal yang dijalankan dua kali sehari di Pusat Kawalan Misi (MCC), Moscow. Dengan sokongan dan panduan daripada semua saintis dan pasukan teknikal di MCC, serta latihan dan pemahaman yang mendalam, Dr. Sheikh Muszaphar telah berjaya menyempurnakan semua eksperimen sains angkasa dengan cemerlang. Prestasi beliau sebagai seorang angkasawan juga dipuji oleh pihak Rusia dan juga rakan dari Agensi Angkasa Eropah.
Penyempurnaan penyelidikan sains angkasa ini bersama misi angkasawan menandakan satu pencapaian baru bagi saintis Malaysia dalam bidang yang bukan sahaja memerlukan kepakaran bidang sains hayat, malahan dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa, serta aspek logistik dan teknikal yang lain. UKM kini mempunyai kapasiti untuk meneruskan kajian seperti ini bagi menyahut seruan pimpinan negara agar penyelidikan sains angkasa diteruskan.

No comments: